Sunday, July 10, 2011

Jaga lah hati jangan kau kotori

*Penulisan di bawah adalah pendapat semata-mata oleh aku yang masih naif tentang kehidupan.

Ada sahabat aku berkata, demonstrasi, berteriak dan bertempik di jalanan bukan budaya melayu dan Malaysia. Adakah kita lupa, orang kita pernah berdemonstrasi menentang Malayan Union? Adakah kita lupa, Hartal pernah berlaku 10 tahun sebelum merdeka? Ya, demonstrasi wujud di dalam darah melayu dan rakyat Malaysia.

Minggu ini satu Malaysia hangat dengan cerita Bersih. Walaupun mendapat berbagai halangan dan tentangan daripada media mainstream, polis dan kerajaan, berpuluh ribu orang tetap hadir untuk menyatakan sokongan terhadap Bersih. Aku terharu melihat gambar-gambar ketika Bersih dilaksanakan. Melayu, Cina dan India dilihat saling membantu antara satu sama lain, ketika 1Malaysia rancak dicanangkan di seluruh negara.

Ketika suasana tegang diantara penganjur dan kerajaan, campur tangan YDPA dilihat sebagai simbol kuasa dan toleransi Raja dalam menyelesaikan hal dan permasalahan rakyat.

Ramai beranggapan perhimpunan Bersih perhimpunan haram, kerana Bersih tidak berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan, termasuklah pak menteri sekali. Ini adalah pendapat orang yang tidak faham, yang Bersih adalah kempen, bukan pertubuhan. Adakah kempen Tak Nak Rokok atau Belia Benci Dadah berdaftar dengan ROS? Pada aku tak perlu.

Mengapa pihak kerajaan begitu takut dan aggresif dalam memprovokasi Bersih, sedangkan 8 tuntutan Bersih adalah jelas dan straight forward. BN atau kerajaan tak perlu takut dengan tuntutan tersebut, kerana tuntutan amat berasas dan releven dengan situasi sekarang. Ramai yang mengatakan, jika pilihanraya kita tak bersih, masakan PR dapat tawan 5 negeri dan Nik Aziz sudah 20 tahun menjadi MB di Kelantan. Betul, pilihanraya kita kelihatan bersih, tapi apa salahnya kita bersihkan nya lagi? Adakah kita pasti tiada penyelewengan dalam undi pos, sistem senarai pengundi dan sebagainya? Kalau tiada penyelewengan macam mana boleh timbul isu satu rumah mempunyai 80 orang pengundi, begitu ramai pengundi yang berusia 100++ keatas dengan umur yang tak masuk akal atau nama pengundi didaftar di 2 pusat mengundi.

Satu contoh yang menarik ada di Pahang. Kem tentera Batu 10 adalah kem tentera yang besar, berada didalam daerah Kuantan. Pada PRU10 1999, DS Najib hanya menang dengan majoriti 241 di parlimen Pekan, dengan 2400 undi pos menyebelahi BN. Tetapi, selepas persempadanan semula untuk PRU11, Kem tentera Batu 10 telah dimasukkan kedalam parlimen Pekan, menyaksikan DS Najib menang besar pada PRU11 dan PRU12. Masih tak nampak lagi permainannya disitu? Tetapi, Allah maha adil, PRU12 menyaksikan Kuantan jatuh ke tangan PR. Nah, ini bukti nyata yang undi pos memainkan peranan penting untuk memenangkan calon BN.

Aku akui, Bersih ni dilihat amat menyusahkan orang ramai. Dengan road block sana sini, trafik jam dan sebagainya menyebabkan orang ramai terutamanya warga KL menjadi marah dengan Bersih ini. Tapi cuba kita bukan minda, perlukan road block sedemikian rupa dilaksanakan untuk menghalang satu perhimpunan yang AMAN? Pada pendapat aku, tidak perlu pun membuat road block dan menutup sebegitu banyak jalan. Penyelesaian yang mudah ialah polis memberi permit dan memberi kerjasama untuk mengawal perhimpunan tersebut. Tapi, polis dilihat berdolak dalik dalam memberi permit kepada penganjur.

Mungkin ada yang mengatakan, buat apa polis nak menurut kehendak penganjur sedangkan penganjur tidak mahu menurut kehendak polis. Polis dah kata buat kat stadium Shah Alam, bukan di stadium Merdeka, tapi mereka degil. Dalam situasi ini, beberapa persoalan akan timbul, adakah polis benar-benar akan memberi permit jika stadium Shah Alam digunakan? Adakah provokasi dari pihak media dan kerajaan terhadap Bersih akan berakhir? Adakah polis benar-benar akan mengawal perhimpunan tersebut dengan aman, tanpa tear gas dan water canon? Pendapat aku, tidak.

Ada lagi yang bertanya, apa beza buat kat Stadium Merdeka dengan Stadium Shah Alam? Mesti ada sesuatu agenda lain yang menyebabkan penganjur beria-ia hendak menggunakan Stadium Merdeka. Pendapat aku mudah, apa salahnya menggunakan Stadium Merdeka? Sedangkan konsert boleh dianjurkan, apa salahnya satu perhimpunan AMAN juga di buat di sana? Objektif mereka mudah, menghantar memorandum kepada YDPA mengenai 8 tuntutan Bersih. Bukan kah Stadium Merdeka lebih dekat dengan Istana YDPA?

Ya, seterusnya beberapa persoalan lagi timbul. Apakah YDPA hendak menerima kedatangan wakil penganjur untuk menyerahkan memorandum? Mungkin, jika polis tidak menghalang dan memberi keizinan. Mengapa penganjur tidak menyerahkan memorandum sewaktu bertemu dengan YDPA hari tu? Ini adalah salah faham yang besar, sebab mereka berjumpa untuk berbincang tentang perhimpunan. Walau di serah memorandum sekalipun, perhimpunan tetap berjalan. Namun, wujud pandangan, mengapa tak di utarakan di parlimen tentang isu ini, sedangkan SPR berada di bawah parlimen. Haha, ini adalah mustahil, kerana wakil BN lebih ramai daripada wakil PR di parlimen, masakan mereka hendak menerima tuntutan daripada pembangkang.

Sudah bermacam-macam pandangan diutarakan terhadap perhimpunan ini, untuk yang tidak menyokong, aku hormati pandangan mereka, tapi pendirian aku jelas, perhimpunan AMAN sepatutnya dibenarkan, selagi matlamat perhimpunan tidak bercanggah dengan agama dan kemanusiaan.


No comments:

Post a Comment